Monday, December 15, 2008

11 Amalan yang Terbalik??? (jom muhasabah diri sendiri)


Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang
amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah
terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut
oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau
terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang
dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-

1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh
keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua,
ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang
dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran
tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk meringankan
kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa
kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka
yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri
tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang
ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang belum
dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin)
orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam).
Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi
makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula
salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita
patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa
kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah
pendapatan.

3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian
cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun
di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju.
Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan,
kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana
rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan
dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak
membazir.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di
rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak
dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk
mengelakkan rasa riak.

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu
makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam
carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati
perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun.
Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah.
Bukankah terbalik amalan kita?

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat
kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak
buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah
kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak
bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau
kita mempunyai tujuan lain.

8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam
periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak
belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak
bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas
mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00
satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar
RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah
terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak
dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam,
pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi
kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid)
tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid.
Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke
rumahNya segan dan malas.

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami
atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah,
masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk
suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang
terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.

11. Kita cukup teruja untuk meng'forward' kan sms atau emel dalam
bentuk gossip2 artis kepada kawan2. Malah kebanyakkan sms emel
tersebut tidak benar dan boleh menjatuhkan maruah org lain. Tapi
kenapa susah sangat nak forward emel2 peringatan sebegini kepada
kawan2 kita??.....

Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada
menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran
agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan
yang digubah mengikut selera kita. Allah yang mencipta kita maka
biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita. Sabda Rasullullah
SAW: "Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat." (Riwayat Bukhari)

Saturday, December 13, 2008

TIDAK CUKUP HIDUP SEMATA-MATA DENGAN FITRAH,KITA MESTI HIDUP DENGAN TUHAN

Fitrah ialah kehendak atau keinginan semulajadi manusia. Kehendak fitrah manusia itu, ada yang utama dan ada yang kurang utama. Yang utamanya hanya satu iaitu kehendak atau keinginan untuk bertuhan. Yang kurang utamanya banyak. Ini termasuklah keinginan untuk berkasih sayang, berkawan, suka kepada kepada kecantikan dan keindahan, keharmonian, kedamaian, ketenangan dan keamanan dan suka kepada sifat-sifat yang baik seperti lemah-lembut, pemurah, rendah diri, pemaaf dan sebagainya.

Sebenarnya kita boleh hidup aman damai hanya dengan mengikut fitrah kita. Terutama kalau fitrah kita itu masih baik dan belum dirosak atau dicemarkan oleh suasana. Dengan mengikut fitrah seperti ini sahaja, masyarakat boleh menjadi tenang, berharmoni dan bertolong-bantu. Memang itulah keinginan fitrah dan manusia akan berbuat mengikut keinginan fitrahnya itu.

Ini dapat kita lihat di dalam masyarakat orang asli yang hidup di hutan. Atas dorongan fitrah, mereka dapat berinteraksi dan berhubung dengan baik di antara satu sama lain. Mereka mampu mewujudkan masyarakat yang mempunyai jalinan yang rapat, bersatu padu dan berharmoni.

Di dunia lain pula terdapat masyarakat yang hidup aman damai. Kalaupun mereka ada undang-undang untuk menghukum penjenayah dan orang-orang yang membuat salah laku, mereka sebenarnya banyak terpandu oleh etika dan kod sosial atau social code masyarakat mereka yang telah diterima bersama. Kadang-kadang etika atau kod sosial ini terkandung di dalam budaya atau tradisi hidup mereka. Ianya tidak bertulis tetapi semua ahli masyarakat memahami dan mengamalkannya.

Etika dan kod sosial ini tercetus atas dorongan fitrah bersama yang mahukan ketenangan, keharmonian dan kedamaian dalam masyarakat mereka.

Tetapi ini ialah kedamaian dengan fitrah, bukan kedamaian dengan Tuhan. Tuhan tidak mahu kita damai dan menjadi baik atas dasar fitrah semata-mata. Tuhan mahu kita jadi baik atas dasar Tuhan.

Kedamaian dan kebaikan atas dasar fitrah tidak tahan diuji. Orang yang baik atas dasar fitrah bila berlaku sesuatu ujian, baiknya akan hilang dan jahatnya akan terserlah.. Orang yang pemarah dan panas baran; contohnya, akan tenang sekiranya keadaan tidak menekannya. Tetapi kalau dia ditekan dan disusahkan, dia akan jadi berang dan akan mengamuk. Orang yang tidak sabar dan tidak redha pula akan nampak tenang apabila semua keperluannya cukup. Tetapi kalau keperluannya berkurangan dan dia jatuh miskin, dia akan mula meracau dan mengeluh. Boleh jadi dia akan putus asa. Begitulah seterusnya.

Hidup dengan Tuhan bermaksud Tuhan itu menjadi teras dalam kehidupan. Tuhan itu diimani dan dijadikan pegangan. Segala apa dalam hidup ini dikaitkan dan disandarkan kepada Tuhan. Kita menumpang kekuatan Tuhan. Kedamaian, ketenangan dan keharmonian dalam masyarakat dicapai hasil dari cinta dan takut dengan Tuhan. Sifat-sifat baik yang tercetus pada diri individu itu adalah hasil dari mujahadah dan memperbaiki diri atas dorongan rasa takut dengan Tuhan.

Bila kita hidup dengan Tuhan, kita mudah tenang dan sabar dengan susah dan ujian kerana kita bersandar dengan Tuhan. Kalau dalam susah dan ujian pun kita boleh tenang, maka lebih-lebih lagilah kita boleh tenang dalam kesenangan dan kemewahan.

Tuhan itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Dia mahu diriNya dilibatkan sama dalam segala urusan dan masalah hamba-hambaNya. Tuhan seolah-olah berkecil hati kalau kita tidak libatkan Dia dalam urusan dan masalah kita. Pada Tuhan, hamba-hambaNya itu adalah kepunyaanNya. Dialah yang paling berhak untuk membantu dan menolong hamba-hambaNya. Janganlah kita kesampingkan Dia. Marilah kita hidup denganNya.

Kerosakan di muka bumi

Semenjak dua menjak ini kita banyaak dikejutkan oleh kejadian tanah runtuh yang berlaku di Hulu Klang amnya Bukit Antarabangsa khususnya. Boleh dikatakan setiap hari akhbar dan berita memaparkan berita mengenainya. Langkah itu, ini, punca pihak yang bersalah macam- macam lagi……
Seharusnya kita orang Islam patut kembali kepada ALLAH atas musibah yang berlaku. Kita seharusnya menyekidik dan berusaha mengaatasinya. Firman ALLAH dalam surah AL-HADID 57:22 yang bermaksud sesuatu yang menimpa di bumi dan yang menimpa dirimu sendiri semuanya telah tertulis dalam kitab (luth mahfuz) sebelum Kami mewujudkannya. Sungguh yang demikian itu mudah bagi ALLAH.
Dalam satu hadis Nabi SAW yang diriwayatkan at-Tirmizi daripada Ali Bin Abi Talib Apabila umatku melakukan 15 perkara berikut, maka layaklah mereka ditimpa bencana iaitu
 Apabila harta benda dirampas dari perperangan dibahagikan kepada orang tertentu sahaja
 Apabila zakat dikeluarkan kerana menebus kesalahan (terpaksa)
 Apabila sesuatu yang diamanahkan menjadi milik sendiri
 Apabila suami terlalu mentaati isteri
 Apabila anak menderhakai ibu bapa masing – masing
 Apabila seseorang lebih memuliakan teman lebih dari ibubapa sendiri
 Apabila kedengaran banyak bunyi bising
 Apabila lebih ramai membicarakan kedunian di dalam masjid
 Apabila sesuatu kaum itu daripada kalangan orang yang dihina oleh mereka
 Apabila memuliakan seseorang kerana takutkan tindakan buruknya
 Apabila arak menjadi minuman biasa
 Apabila lelaki memakai sutera
 Apabila perempuan dijemput menghiburkan lelaki
 Apabila wanita memainkan alat muzik
 Apabila orang terkemudian menghina orang yang terdahulu

Maka saat itu tunggulah bala yang akan menimpa dalam bentuk angina merah (putting beliung) atau gerak gempa yang maha dahsyat atau tanaman yang tidak menjadi…

Huh bila di baca itu semua majoriti daripadanya bermaharajalela di bumi Malaysia sekarng. Sesungguhnya kerosakan yang berlaku dimuka bumi berlaku atas sebab tangan manusia sendiri. Dalam akhbar 12 disember 2008 tulisan Dr Zaini Ujang pensyarah Kejuruteraan Tanah Universiti Teknologi Malaysia, bumi adalah satu jasad. Ekosistem di Bukit Antarabangsa diibaratkan manusia tanpa tulang belakng atau tanpa kedua kakinya. Bayangkan bagaimana manusia boleh berjuang untuk terus hidup tanpa tulang belakang. Tetunya terumbang-ambing...
Jadi sama-samalah kita muhasabah diatas musibah yang berlaku...Jika kita menghayati sebenar-benarnya hadis ini sudah tentu ita mampu menerima hakikat atas apa yang berlaku keatas kita...
Oleh itu kembalilah kepaada apa yang dituntut oleh Islam ,semoga kehidupan kita akan dirahmati keamanan dari dunia sampai akhirat.Amim.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

cetak artikel pilihan dari blog Balai Islam Bestari