Tuesday, March 15, 2011

Mungkiri janji itu sifat Iblis

Iblis adalah makhluk ghaib yang dijadikan daripada api dan tidak dapat dilihat oleh pancaindera. Iblis termasuk dalam golongan yang menderhakai Allah swt apabila enggan sujud kepada Nabi Adam a.s. Sifat-sifat iblis terlalu banyak yang dijelmakan dalam diri manusia, terutama manusia yang tidak dapat membezakan antara hak dan batil. Manusia yang tidak dapat petunjuk Allah swt, maka lahirlah sifat kebinatangan yang diinspirasikan oleh iblis dan konco-konconya, merompak , meragut hingga menyebabkan kematian, membunuh, menipu dan pelbagai sifat lain.
Terdapat pandangan ulama yang menyatakan bahawa sifat iblis yang sering terdapat pada diri manusia yang paling teruk ialah memungkiri janji. Firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 22, “Dan berkatalah pula iblis setelah selesai perkara itu, sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu; dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu terburu-buru menurut ajakanku itu;  maka jangan kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya daripada dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah tuhan) yang kamu sekutukan daku dengannya. Sesungguhnya orang-orang yang zalim beroleh azab yang tidak terperi sakitnya".
Memungkiri  janji juga adalah sifat golongan munafiq yang amat dibenci Allah dan Rasulnya. Allah menegaskan menerusi ayat 77 surah at-Taubah yang bermaksud, “akibatnya Allah menimbulkan perasaan munafiq ke dalam hati mereka (berkekalan) hingga ke masa mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri apa yang mereka janjikan kepada Allah dan juga kerana mereka sentiasa berdusta.”
Rasulullah juga mengatakan bahawa, "tanda orang munafiq itu ada tiga; apabila bercakap dia berdusta, apabila berbuat janji dia mungkirinya dan bila diberikan amanah dia mengkhianatinya.” Hadis sahih riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim.
Dalam kita Falhul Bari Juzuk 1 halaman 90, Ibn Hajar Al-Asqalani menegaskan bahawa sifat nifaq itu boleh menjadikan seseorang itu kafir melalui penglibatan dalam nifaq besar yang bersangkutan dengan akidah, iaitu apabila seseorang muslim itu menyembunyikan kekufurannya dan ia sebenarnya menzahirkan keimanannya. Nifaq jenis ini terkeluar daripada Islam, ia terdapat pada diri seseorang yang memungkiri janji.
Menurut Imam Nawawi yang memetik pandangan ulama bahawa mereka bersepakat mengatakan jika terdapat sifat nifaq ini pada diri seorang muslim, maka dia dihukum seorang yang telah kafir.
Menurut Imam al-Ghazali pula, seseorang muslim itu dilihat kepada tiga perkara, perkataan, perbuatan dan niatnya. Perkataannya dianggap rosak kerana berbohong. Perbuatannya rosak kerana berlakunya khianat dan niatnya rosak kerana memungkiri janji. Itulah tanda yang telah ditegaskan Rasulullah dalam Sunan Abu Daud juzuk 2 halaman 717 maksudnya: “Jika seseorang Muslim itu berbuat janji kepada saudara muslimnya dengan niatnya untuk tidak menunaikan janjinya (maka dia berdosa), tetapi jika dia tidak sanggup untuk mungkiri janjinya, maka dia tidak berdosa.
Terdapat pandangan ulama yang menyebut bahawa setiap muslim perlu mengetahui hakikat sebenarnya bahawa Allah maha sempurna sifat-sifatnya hingga sama sekali tidak mungkiri janjinya terhadap makhluknya, ia dbuktikan dengan  dengan ayat 47 surah al-haj maksudnya’” Dan mereka meminta kepadamu (Wahai Muhammad) menyegerakan kedatangan azab, padahal Allah tidak sekali-kali akan memungkiri janjinya dan katakanlah kepada mereka sesungguhnya satu hari dari hari-hari azab di sisi Tuhanmu adalah meyamai seribu tahun dari yang kamu hitung.
Bagi menyelamatkan diri kita masing-masing daripada terjebak pada sifat-sifat Iblis, tidak ada jalan selain mengadu kepada Allah dan sentiasa bermuhasabah terhadap amalan kita.

Siapakah yang dimaksudkan dengan lelaki soleh???

Lelaki soleh dapat di definisikan sebagai seorang lelaki muslim yang beriman (mukmin), bersih dari segi zahir dan batinnya, mengambil makanan yang bersih dan halal (bukan dari sumber yang haram) serta sentiasa berusaha menjauhkan dirinya dari perkara perkara yang akan mendorong ke arah maksiat dan menariknya ke jurang NERAKA yang amat dalam.
Lelaki soleh juga ialah seorang lelaki yang sentiasa taat kepada Allah swt. dan Rasul-Nya walau dimana sahaja mereka berada dan pada bila bila masa sahaja. Kesolehan dan keimanan seseorang tidak dapat dilihat dan diukur dari segi lahiriah semata mata kerana ianya adalah berkait rapat dengan masalah AKIDAH dan KEYAKINAN, kepada siapa dia menyerah keyakinan dan ketaatan dan sebaliknya. TAUHID merupakan dasar tertinggi dalam kehidupan yang harus sentiasa dipelihara kerana apabila tauhid tidak betul dan sempurna, maka seluruh amalan yang dilakukan adalah sia-sia sahaja. Apabila telah jelas kepada siapa kita memberikan perwalian dan terhadap pihak mana kita menolak kepimpinan, barulah Tauhid akan menjadi kenyataan dan berdiri dengan tegaknya dalam jiwa seseorang.
Oleh yang demikian, jelaslah bahawa kesolehan seseorang lelaki itu tidak dapat dinilai dari segi lahiriah semata-mata. Ianya adalah lebih jauh dan mendalam dari itu semua. Antara hal-hal yang harus dilihat dan dikaji pada setiap individu muslim ialah perkara-perkara yang bersangkutan dengan keyakinan, tujuan dan pandangan hidup serta cita-cita dan jalan hidup seseorang itu.
KRITERIA-KRITERIA LELAKI SOLEH SEPERTI YANG DIMAKSUDKAN OLEH AL QURAN DAN AL HADIS:
1. Sentiasa taat kepada Allah swt dan Rasullulah saw.
2. Jihad Fisabilillah adalah matlamat dan program hidupnya.
3. Mati syahid adalah cita cita hidup yang tertinggi.
4. Sabar dalam menghadapi ujian dan cabaran dari Allah swt.
5. Ikhlas dalam beramal.
6. Kampung akhirat menjadi tujuan utama hidupnya.
7. Sangat takut kepada ujian Allah swt. dan ancamannya.
8. Selalu memohon ampun atas segala dosa-dosanya.
9. Zuhud dengan dunia tetapi tidak meninggalkannya.
10. Solat malam menjadi kebiasaannya.
11. Tawakal penuh kepada Allah taala dan tidak mengeluh kecuali kepada Allah swt
12. Selalu berinfaq samada dalam keadaan lapang mahupun sempit.
13. Menerapkan nilai kasih sayang sesama mukmin dan ukhwah diantara mereka.
14. Sangat kuat amar maaruf dan nahi mungkarnya.
15. Sangat kuat memegang amanah, janji dan kerahsiaan.
16. Pemaaf dan lapang dada dalam menghadapi kebodohan manusia, sentiasa saling membetulkan sesama ikhwan dan tawadhuk penuh kepada Allah swt.
17. Berkasih sayang dan penuh pengertian kepada keluarga.
Selain daripada ciri-ciri diatas, orang orang yang soleh juga merupakan insan insan yang senantiasa mendapat ujian dan cubaan daripada Allah swt. setelah para nabi nabi dan orang orang yang mulia. Mereka menghadapi segala ujian tersebut dengan hati yang tabah dan tetap teguh dalam keimanan serta pendirian. Mereka tidak mudah menyerah kalah dari keganasan dan tekanan musuh.
Tugas-tugas dan kewajipan lelaki soleh:
1. Mencari nafkah (belanja hidup)
2. Berjihad Fisabilillah.
3. Melindungi dan membela kaum yang lemah dan tertindas.
4. Memimpin, mendidik dan berlaku adil terhadap isteri.
1. MENCARI NAFKAH
Tugas mencari nafkah diberatkan kepada kaum lelaki kerana kelebihan dalam penciptaannya yang berupa kekuatan fizikal dan akal fikirannya. Oleh itu lelaki mampu untuk bekerja keras untuk mencari nafkah, memberi perlindungan dan pertahanan maruah kehidupannya terutama kepada keluarga, agama, bangsa dan agamanya. Inilah sebabnya lelaki diangkat menjadi pemimpin bagi kaum wanita. Oleh itu, seorang lelaki muslim, lelaki dan suami yang soleh, tidak akan melalaikan tugas ini. Ia wajib bekerja menurut apa sahaja kemampuannya. Dalam melaksanakan tugas ini, dia haruslah MEMBETULKAN NIATnya iaitu ikhlas untuk mencari keredhaan Allah swt. Dia tidak akan merasa MALU untuk melakukannya sebaliknya gembira dan berbangga terhadap pekerjaannya lebih lebih lagi perkara yang halal.
Lelaki soleh tidak akan lupa untuk mengingati hari akhirat tetapi menjadikannya sebagai tujuan yang utama. dia bekerja didunia untuk mencari keuntungan di akhirat, bukannya mengejar keduniaan semata-mata. Dengan cara ini, usahanya akan sentiasa berhasil dan berjaya didunia dan akhirat. Seperti kata ulama Salaf yang bermaksud; “Wahai anak Adam! Juallah duniamu dengan akhirat, maka engkau akan UNTUNG semuanya, tetapi jangan engkau jual akhirat dengan dunia, maka engkau akan RUGI semuanya.”
“Bagi orang orang yang telah mengerjakan kewajipan agamanya dengan baik, kemudian terasa penat dan letih pada malamnya, sehingga tidak dapat mengerjakan amalan amalan sunnah, maka Allah dan RasulNya memberikan jaminan dengan ampunan sepanjang malam yang dilaluinya dengan tidur yang nyenyak”.
Inilah antara ganjaran yang akan dikurniakan kepada lelaki soleh yang mencari nafkah dengan bersungguh sungguh. Terdapat dua cara orang berusaha mencari nafkah seperti yang dianjurkan oleh ISLAM.
Pertama: Hendaklah ia tidak melalaikan tugasnya terhadap Allah swt.dan janganlah ia meninggalkan nilai nilai yang LUHUR.
Kedua : Hendaklah dilakukan dengan cara yang halal, bersih dan tidak membawa apa apa kemudaratan kepada orang lain dan tidak pula bertentangan dengan peraturan-peraturan umum.
2.Antara cara cara pencarian harta yang diharamkan oleh Islam ialah:
1. Riba,
2. Penimbunan barang barang yang menjadi hajat orang ramai,
3. Perjudian dan perdagangan minuman keras,
4. Berlaku penipuan dalam penimbangan dan penukaran barang,
5. Mencuri
6. Memakan harta orang lain dengan cara yang bathil seperti yang diterangkan dalam surah An Nisa 4, ayat 29.
2. BERJIHAD FISABILILLAH
Jihad merupakan amal yang paling utama dan puncak ketinggian Islam. Tidak ada satu pun amalan soleh yang dapat menandingi Jihad. Orang soleh tidak sedikit pun merasa gentar dan takut apabila berjuang menegakkan agama Allah sebaliknya sentiasa tersenyum bangga menjadi seorang Pegawai Allah dengan gelaran paling indah iaitu MUJAHIDIN.
3. MELINDUNGI DAN MEMBELA KAUM YANG LEMAH DAN TERTINDAS
Sememangnya sejak akhir-akhir ini golongan kafir senantiasa mencari peluang untuk menindas dan menakluki negara-negara serta umat- umat Islam. Orang orang yang soleh haruslah peka dan bersedia untuk bertindak balas supaya umat-umat Islam tidak akan ditindas dengan sewenang-wenangnya oleh golongan tersebut.
” Wahai lelaki soleh…! tugas dan tanggungjawabmu bukanlah ringan, bayangkan langit dan gunung tidak mampu membawanya. Kamu sajalah yang akan tampil dan mampu menyelesaikan persoalan besar ini. Orang orang yang lemah dan sedang tertindas sentiasa menanti kehadiranmu. Mereka berdoa agar kamu segera tiba untuk menjadi pembela dan penolong bagi mereka.”
Inilah laungan yang senantiasa terdengar daripada golongan golongan yang tertindas dan mengharapkan bantuan. Oleh itu lelaki yang soleh haruslah memainkan peranannya sebagai pembela agama sama ada secara langsung ataupun tidak langsung demi untuk mengekalkan kedaulatan agama Islam
4. MEMIMPIN DAN MENDIDIK ISTERI
  • Mengajar dan membimbing dengan cara yang baik sehingga isteri isteri yang tidak solehah menyedari akan kesilapannya dan menukar cara hidupnya menjadi isteri solehah.
  • Menangani isteri dengan bijaksana sehingga dia menyedari hakikat yang sebenarnya dan bersedia mengubahnya.
Demikianlah cara cara yang telah digariskan oleh Islam untuk mengatasi masaalah ketidaksesuaian suami isteri dalam kehidupan rumah tangga. Apabila menghadapi sebarang kesulitan, lelaki soleh tidak akan cepat melatah dan bertindak menurut nafsu dan perasaan semata-mata tanpa mengambil kira perasaan orang lain. Lelaki soleh akan bertindak dengan cara yang lebih efisien dan bijaksana dan senantiasa memohon petunjuk dari Allah swt. Dengan ini kebahagiaan rumahtangga akan dapat dikekalkan buat selama lamanya. Berlaku baik terhadap isteri, suami yang soleh akan sentiasa menjaga kebajikan keluarganya terutama isterinya. Ia senantiasa menjaga hati dan perasaan pasangannya dan sentiasa menggembirakan isterinya. Mereka juga akan bertanggungjawab dalam menguruskan urusan rumahtangga, dan bekerjasama dengan isterinya.
Sabda Rasulullah: “Orang yang terbaik diantara kamu adalah orang yang terbaik terhadap isterinya, dan aku adalah orang yang terbaik diantara kamu terhadap isteriku.” ( HR Ibnu Majah )
Tauladan Rasulullah dalam kehidupan berkeluarga:
  • Keadaan beliau sebagai suami dan ayah
  • Kebiasaan beliau di tengah kehidupan bekeluarga
  • Cinta kasih beliau terhadap isteri dan anak.

Wassalam.

Thursday, March 10, 2011

PUISI BUAT KAUM HAWA

Puisi buat kaum hawa

Hawa..

Andai engkau masih remaja,

Jadilah anak yang solehah buat ibu bapamu

Andai engkau sudah bersuami,

Jadilah isteri yang meringankan beban suami mu

Andai engkau masih ibu,

Didiklah anakmu sehingga dia tidak gentar memperjuangkan agama Allah



Hawa..

Andai engkau belum berkahwin,

Jangan kau risau jodohmu,

Ingatlah Hawa janji tuhan kita,

Wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik,

Jangan dimulakan sebuah pertemuan dengan lelaki yang bukan muhrim,

Kerana aku khuatir,

Dari mata jatuh kehati,

Maka lahirnya senyuman,

Maka tercetusnya salam,

Dan sekali gus di susuli dengan pertemuan,

Takut lahirnya nafsu kejahatan yang menguasai diri.



Hawa..

Lelaki yang baik tidak melihat paras rupa,

Lelaki yang soleh tidak memilih wanita melalui keseksiannya,

Lelaki yang baik akan menilai wanita melalui akhlaknya, peribadinya dan yang penting agamanya.

Lelaki yang baik juga tidak menginginkan pertemuan dengan wanita yang bukan muhrimnya kerana dia takut memberi kesempatan kepada syaitan untuk menggodanya.

Kerana dia tahu ape matlamatnya dalam sebuah pertemuan lelaki dan wanita,

Yakni sebuah perkahwinan.



Oleh itu Hawa ..

Jagalah pandanganmu, awasilah auratmu, peliharalah akhlakmu, kuatkan pendirianmu.

Andai ditakdirkan tiada cinta daripada Adam untukmu,

Cukuplah hanya cinta Allah memenuhi dan menyinari kekosongan jiwamu,

Biarlah hanya cinta dari kedua ibu bapamu

Yang memberi hangat kebahagian buat dirimu,

Cukuplah sekadar cinta adik-beradik serta

Keluarga yang membahagiakan dirimu.



Hawa...

Cintailah Allah dikala susah dan senang

Kerana kau akan memperolehi cinta daripada insan yang juga menyintai Allah.

Cintailah kedua ibu bapamu,

Kerana kau akan memperolehi keredhaan Allah.

Cintailah keluargamu,

Kerana kau tak akan jumpa cinta yang bahagia selain dari cinta keluarga.

Janganlah sesekali tangan yang mengoncang dunia juga mengoncang iman lelaki.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

cetak artikel pilihan dari blog Balai Islam Bestari