Sunday, February 22, 2009

Muslimah Memang Tak Guna


Saya percaya bahawa apabila anda mula-mula membaca tajuknya, dan membacanya mengikut intonasi yang betul, anda tersangat tidak bersetuju. Sebelum anda mengatakan rasa tidak puas hati itu, eloklah dahulu anda bertenang dan baca dengan teliti semua fakta yang dikemukakan.
Jika ada mana-mana point yang tidak tepat, nyatakan komen anda secara terbuka.

1. Perempuan yang bergelar muslimah itu tidak guna kain yang nipis untuk membuat bajunya, sehingga terbayang kulitnya. Kerana dia tahu, bahawa pakaian seperti itu adalah pakaian yg layak dipakai oleh perempuan jalang.

2. Perempuan yang mengakui dirinya beragama islam memang tidak guna rantai kaki yang berloceng utk dililitkan pada kakinya. Rantai ini apabila dipakai walaupun tersembunyi tetap bergemerincing dan menarik perhatian orang lain, lebih-lebih lagi lelaki JAHAT. Dia tahu sekiranya dia memakainya juga dia telah melanggar larangan Allah dalam ayat 31 surah An- Nur.

3. Perempuan yang mengakui dirinya ana muslimah memang tidak guna minyak wangi yang baunya semerbak. Wangian sebegini mempunyai kuasa penyerakan bau yang amat tinggi kerana kadar kemeruwapannya tinggi. Biasanya kekuatan bau ini menunjukkan kadar kekompleksan rantai alcohol (secara kimia) yg digunakan utk membuat pewangi itu. Perempuan yang tidak memakai wangian yang kuat ini tahu bahawa inilah yang dipesan oleh nabi. Sabda junjungan bahawa wanita yang keluar rumah dgn memakai wangian, adalah seperti pelacur. Bukan tidak boleh berwangi-wangi tetapi bersederhanalah dlm pemakaian wangian tersebut.

4. Perempuan yang kuat pegangan islamnya memang tidak guna kata- kata yang keji, kerana dia tahu sesiapa sahaja yang bercakap perkara yang keji adalah mereka yang rendah akhlaknya. Lelaki atau perempuan yang bercakap menggunakan perkataan yang buruk @ jahat, adalah seperti sepohon pokok yang rosak akar tunjangnya. Dia tahu bahawa perumpamaan perkataan yang baik dan buruk dinyatakan dengan jelas dalam ayat 24-26 surah Ibrahim.

5. Perempuan muslimah tidak guna masa berborak untuk mengatakan hal-hal orang yang disekitarnya atau dengan kata lain mengumpat, memperkatakan keabaian saudaranya. Dia tahu bahawa sekiranya orang yang suka mengumpat baik lelaki atau perempuan dia seolah-olah memakan daging saudaranya sendiri.
Apakah sanggup kita memakan daging saudara sendiri?
Persoalan ini ditanyakan kepada kita dalam firmanNya ayat 12 surah al-Hujurat.



6. Perempuan yang berpakaian berdasarkan syariat islam memang tidak guna tudung tiga segi, apabila memakainya diselempangkannya sehingga nyata bentuk perbukitan pada badannya (tudung siput babi). Sememangnya ia menjadi tatapan mata lelaki yang jahat yang terkena panahan syaitan. Dia tahu apabila bertudung, dia mesti melabuhkan tudungnya sehingga menutup alur lehernya dan tidak menampakkan bentuk di bahagian dadanya. Pesan Rasul seperti yang disuruh oleh Allah tersebut dalam ayat 59 al-Ahzab. Begitu juga seorang lelaki yang bergelar suami mesti memberi peringatan untuk isteri dan anak- anaknya.

7. Perempuan yang memahami etika dalam islam memang tidak guna lenggok bahasa yang boleh menggoda seorang lelaki. Jika bercakap dengan lelaki yang bukan mahramnya, bercakaplah dengan tegas. Jangan biarkan suara lentukku untuk menarik perhatian lelaki yang sakit dalam hatinya. Sememangnya suara perempuan bukanlah aurat, jika aurat maka Allah tidak akan menjadikan perempuan boleh berkata-kata. Bertegaslah dalam percakapan, jangan gunakan suaramu untuk menarik perhatian lelaki sehingga menjadi fitnah buatmu. Bahaya suara wanita yang bercakap dengan gaya membujuk yang boleh mencairkan keegoan lelaki (yg bukan mahramnya) dicatat dalam ayat 32 surah al-Ahzab. Makna ayatnya lebih kurang begini"Maka janganlah kamu tunduk dlm berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dlm hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik" 'Tunduk' di sini ditafsirkan sbg berbicara dgn sikap yang boleh menimbulkan keberanian orang untuk bertindak jahat kpd mereka. "Penyakit dlm hati" adalah keinginan seorang lelaki utk melakukan perbuatan sumbang dgnnya seperti berzina. Mengapa? Lelaki sangat mudah tertarik kpd seorang wanita melalui suaranya.

8. Perempuan yang menjaga maruah islam memang tidak guna alat make-up untuk menonjolkan kejelitaannya melainkan di hadapan suaminya sahaja. Adab bersolek (tabarruj) ini amat ditekankan kepada wanita muslim (muslimah) kerana semestinya kecantikannya adalah hak ekslusif yang mesti persembahkan kepada suaminya. Jika ingin keluar bekerja, dia memakai make-up secara bersederhana sahaja sehingga tidak jelas kelihatan pada wajahnya dia bersolek. Jangan bersolek sehingga cantiknya anda sehingga kadang2 wajah anda menjadi seperti hantu. Hendak bergincu? Jika bergincu, pakailah yg tidak menyerlah warnanya. atau Mengapa tidak pakai lipstick-non-glossy atau lipbalm sahaja?

9. Perempuan islam tidak guna kain tudung yang jarang-jarang seperti jarangnya jala yang digunakan untuk memukat haiwan akuatik. Kerana apabila memakai tudung seperti ini, akan nampak juga bahagian yang sepatutnya ditutup rapi dari pandangan orang lain. Rambut adalah mahkota, tetapi jangan biarkan mahkota itu tidak 'berharga' dengan menayangkannya tanpa sebarang perlindungan. Jika mahkota berharga disimpan dengan rapi di dlam sangkar, dan ditambah pula pengwal untuk menjaga keselamatannya, maka demikian juga dengan rambut wanita. Sangkar itu adalah kain litup yang sempurna dan pengawalnya pula adalah ilmu yang diamalkan oleh anda untk memakainya dengan cara yang terbaik.

10. Jadilah perempuan islam & muslimah yang B E R G U N A


:: Rujuklah Eksiklopedia Larangan Bagi Muslimah sebagai panduan ::






Tips/Panduan Atasi Zina Hati

Selagi dinamakan manusia, kita mempunyai perasaan suka mengasihi dan dikasihi. Memang adat kehidupan bahawa kasih cinta didahului dengan berasa rindu, namun jangan pula rindu berlebihan. Kerinduan kepada kekasih, sering kali membekaskan duka, penyakit menyebabkan kelemahan hati. Kita sebenarnya berperang dengan perasaan. Namun, seorang Muslim akan terasa nikmat jika dapat menjauhi keluhan, kesedihan dan kerinduan ini.

Ibnu Qayyim memberikan terapi mujarab mengenai masalah rindu. Sebelum itu beliau memberikan sebab mengapa rasa rindu berlebihan terjadi antaranya: Hati tidak terisi oleh rasa cinta, syukur, zikir dan ibadah kepada Allah sebaliknya membiarkan mata meliar. Pandangan dan renungan mata adalah jalan membawa kepada kesedihan dan keresahan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pandangan mata itu satu daripada sekian banyak anak panah iblis.” Setiap penyakit ada ubatnya. Ubat yang terbaik adalah meneguk daripada pengajaran al-Quran seperti firman Allah yang bermaksud: “Demikianlah supaya kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba kami yang terpilih.” - (Surah Yusuf, ayat 24)


  • Ikhlas kepada Allah. Ikhlas adalah ubat penyakit rindu. Ikhlas kepada Allah bermakna selalu berusaha berada di pintu ibadah dan memohon kesembuhan daripada Allah. Jika kita ikhlas kepada Allah, Allah akan menolong kita daripada penyakit kerinduan melalui cara tidak pernah terdetik di hati. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah mengatakan: “Sungguh jika hati telah berasakan manisnya ibadah kepada Allah dan ikhlas kepada-Nya, nescaya ia tidak akan menjumpai hal lain yang lebih manis, indah, nikmat dan baik daripada Allah. Manusia tidak akan meninggalkan sesuatu dicintainya, melainkan selepas memperoleh kekasih lain yang lebih dicintainya.

  • Doa mengundang sikap, rasa fakir dan rendah diri di hadapan Allah. Oleh itu doa adalah salah satu bentuk ibadah yang agung. Ketika kita berada dalam kesempitan, kita bersungguh-sungguh dalam berdoa, berasakan Allah amat dekat mendengarkan rayuan.

  • Mengurus mata dan pandangan. Pandangan yang berulang-ulang adalah suis penting menyalakan api rindu. Orang yang memandang dengan sepintas lalu jarang berasakan hati terusik dan jatuh. Ibnul Qayyim menyatakan: “Orang berakal tidak mudah tergelincir jatuh hati dan rindu, dia tidak tertimpa pelbagai kerosakan. Barang siapa yang terjun ke dalamnya maka ia termasuk orang yang menzalimi diri sendiri, tertipu dan akhirnya binasa. Jika dia tidak melakukan pandangan berkali-kali terhadap orang yang dikagumi dan usahanya itu meragut benang asmara, pastilah asmara tidak akan kukuh mencengkam jiwanya.”

  • Bernikah dan membina rumah tangga adalah langkah paling baik. Inilah ubat rindu paling baik. Tidak semestinya bernikah dengan orang yang kita kagumi. Meskipun pernikahan itu dilangsungkan tidak dengan orang dicintai dan diidamkan.

"Oh Ibu,Belum Ada Pemuda Meminangku....."


"Oh.. ibu, usiaku sudah lanjut, na­mun belum datang seorang pemuda pun memi­nangku...? Apakah aku akan menjadi perawan seumur hidup?" Kira-kira begitulah keluhan seorang gadis Mekah yang berasal dari Bani Ma'zhum yang kaya raya. Mendengar rintihan si anak, ibunya yang teramat kasih dan sayangkan anaknya lantas kelam kabut ke sana ke mari untuk mencari jodoh buat si puteri.

Pelbagai ahli nujum dan dukun ditemuinya, ia tidak peduli berapa saja wang yang harus keluar dari saku, yang penting anaknya yang cuma seorang itu dapat bertemu jodoh. Namun sayang usaha si ibu tidak juga menam­pakkan buahnya. Buktinya, janji-janji sang dukun cuma bualan kosong belaka. Sekian lama mereka menunggu jejaka datang melamar, sedangkan yang ditunggu tidak pernah nam­pak batang hidungnya.

Melihat keadaan ini tentu saja gadis Bani Ma'zhum yang bernama Rithah AI-Hamqa men­jadi semakin bermuram durja, tidak ada kerja lain yang diperbuatnya setiap hari kecuali mengadap di depan cermin untuk memandang diri sambil terus bertanya-tanya, “Mengapa sampai hari ini tidak kunjung datang juga seseorang yang akan mengahwiniku?” Penantian jodoh yang ditunggu-tunggu Rithah ak­hirnya tamat tatkala ibu saudaranya yang berasal dari luar daerah berkunjung ke rumah mereka dengan membawa jejaka tampan. Akhirnya Rithah yang telah lanjut usia pun menikah dengan jejaka yang muda rupawan. Kenapa sipemuda itu ber­sedia menikahi gadis Bani Ma'zhum yang telah tua itu..?

Oh… ternyata ada udang di sebalik batu. Rupa-rupanya jejaka rupawan yang miskin itu hanya menginginkan keka­yaan Rithah yang melimpah ruah. Sebaik sahaja si jejaka telah berha­sil menggunakan sebahagian harta Rithah ia pun pergi tanpa apa­san dan kesan.... Dan tinggallah kini Rithah seorang diri, menangisi pemergi­an suami yang tidak tentu ke mana perginya.

Kesedihan dan kemurungan­nya dilepaskan Rithah dengan membeli be­ratus-ratus buku benang untuk di­pintal (ditenun), setelah jadi hasil tenunannya, wanita itu mencerai-beraikan lagi men­jadi benang. Lalu ia tenun lagi dan ia cerai beraikan lagi. Be­gitulah seterusnya ia jalani sisa-sisa hidupnya. Sesuailah kata-kata jahiliyyah mengata­kan, Asmara boleh membuat orang jadi gila sasau." (tentu bagi orang-orang yang tidak memiliki iman) AI-Qur'anul Karim meng­abadikan kisah gadis Bani Ma'­zhum ini dalam surat An-NahI ayat 29,

“Dan janganlah kamu seperti perempuan yang meng­uraikan benangnya yang su­dah dipintal dengan kuat men­jadi bercerai-berai kembali...”


Yang dimaksud Al­Qur'an dengan 'wanita pengu­rai benang yang telah dipintal' tidak lain adalah Rithah Al­Hamqa. Dalam ayat tersebut Allah melarang kita berkelakuan seperti Rithah dalam menghadapi masalah jodoh. Namun demikian banyak ibrah(pengajaran) yang dapat kita petik dari episod gadis kaya keturunan Bani Ma'zhum ter­sebut. Kisah Rithah mengajar kita bahawa jodoh sebenarnya merupakan urusan Allah. Jodoh tidak dapat di­hindari manakala kita belum menginginkannya, dan sebaliknya ia juga tidak dapat dikejar ketika kita su­dah teramat sangat ingin men­dapatkannya. Bukankah Rasul pun telah bersabda:

“Ketika di­tiupkan ruh pada anak manu­sia tatkala ia masih di dalam perut ibunya sudah ditetap­kan ajalnya, rezekinya, jodohnya dan celaka atau bahagianya di akhirat”.


Kerana Allah telah menentukan jodoh kita maka tidak layak bagi kita untuk bimbang dan risau seperti Rithah. Kalau sudah sampai waktunya jodoh itu pasti akan datang sendiri. Episod Rithah juga mengajar kita un­tuk melakukan ikhtiar (usaha) dalam mencapai cita-cita. Ka­lau ibu Rithah berjumpa pelbagai ahli nujum agar anaknya berhasil mendapat­kan jodoh, bagi kita tentunya mendatangi AI-Mujub (yang Maha Pengabul doa) agar tujuan kita tercapai. Allah sen­diri telah berfirman:

"Dan apabila hambaKu bertanya tentang Aku, maka jawablah bahawa Aku dekat. Aku mengabulkan doa orang-orang yang berdoa kepadaKu.. "(QS. 2:186)




Dengan ayat tersebut Allah memberikan harapan yang sebesar-besarnya bahawa setiap doa yang disampaikan padaNya akan dikabulkan. Allah tidak mungkin mungkir janji, siapa yang paling tepat janjinya selain Allah? Dalam sebuah hadis riwayat Abu Da­wud, Tarmizi dan lbnu Majah, Rasul pun bersabda tentang masalah doa,

"Sesungguhnya Allah malu terhadap seseorang yang menadahkan tangannya berdoa meminta kebaikan kepadaNya, kemudian menolaknya dalam keadaan hampa".


Pengajaran berikutnya yang dapat kita petik, ialah memu­puk sikap 'sabar' dalam meng­hadapi jodoh yang mungkin belum juga menghampiri kita padahal usia kita telah sema­kin senja. Firman Allah dalam Surah AI-Baqarah ayat 45,

"Dan jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya yang demikian itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang khusyu', iaitu orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Rabbnya, dan mereka akan kembali padaNya".


Sabar dan solat akan selalu membentengi kita dari desakan orang sekeliling dan godaan syaitan yang berharap kita salah langkah dalam ma­salah jodoh ini. Masalah ini banyak ditanggung oleh saudara-saudara kita yang sudah layak nikah namun belum ada juga ikhwah yang datang meminang merupakan ujian yang - wallahu a'lam - sesuai dengan ketetapan Allah. Banyak kisah nyata bahawa resah gelisah dan tidak sabar dalam ma­salah jodoh malah mem­buat kehidupan selepas nikah jadi tidak seindah semasa masih bujang. Di samping itu kita pun harus tetap men­jaga kemur­nian niat kita untuk menikah. Motivasi usia yang semakin senja serta tidak tahan mendengar umpatan orang sekitar harus secepatnya dihilangkan. ltu semua tidak akan menghasilkan suatu rumahtangga Islami yang kita harapkan. Ini adalah kerana kekukuhan rumahtangga kita seiring ada­dengan kuatnya landasan iman dan niat ikhlas kita.

Sungguh beruntung se­kali menjadi orang-orang muk­min. Tatkala mendapat ujian (termasuk jodoh) ia akan ber­sabar maka sabarnya menjadi kebaikan baginya. Dan ketika mendapat nikmat ia bersyukur, maka kesyukurannya itu men­jadi baik pula baginya. Kisah gadis Bani Ma'zhum itu juga memberikan nasihat pada manusia di zaman kemudiannya bahawa jodoh merupakan amanah Allah. Amanah yang hanya akan diberikan pada seseorang yang dianggap te­lah mampu memikulnya kerana amanah merupakan se­suatu yang harus dipelihara dengan baik dan dipertanggungjawabkan. Manakala kita belum dikurniai amanah jodoh oleh Allah, mungkin belum waktunya untuk kita memikul amanah tersebut.

Si­kap kita yang paling baik da­lam hal ini adalah sentiasa bersangka baik (husnudzon) kepadaNya. Kerana sesuatu yang kita cintai atau sesuatu yang kita anggap baik (jodoh) belum tentu baik bagi kita menurut Allah. Begitu pula sebaliknya sesuatu yang kita anggap buruk bagi diri kita belum tentu buruk menurut ilmu Allah.

"Boleh jadi kamu rnencintai sesuatu padahal se­suatu itu amat buruk bagimu, dan boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal itu amat baik bagimu. Kamu tidak menge­tahui sedangkan Allah Maha Mengetahui" (QS. 2:216)



Akhir sekali kisah Rithah mem­berikan ibrah(pengajaran) kepada kita untuk mengarahkan cinta (mahabbah) tertinggi kita kepada yang memang berhak memilikinya. Cinta Rithah yang begitu tinggi diarahkan kepada makhluk (suaminya), hingga membuat ia 'gila sasau'. Bagi kita tentu cinta yang tertinggi itu hanya patut dipersembahkan buat yang Maha A’lah pula (Khaliq). Bukankah salah satu ciri mukmin adalah asyaddu huballillah ada­pun orang-orang yang beriman itu amat sangat cintanya kepada Allah
(asyaddu huballillah)(QS. 2:165). Jika arah cinta kita sudah benar, maka yakinlah Allah SWT tidak akan mengabaikan kehidupan kita. Seorang penyair dari Seberang yang terkenal Khairil Anwar pernah menulis puisi:

Tuhanku Dalam termangu.
Aku masih menyebut namaMu
Walau susah sungguh Mengingat
kau penuh seluruh
Tuhanku Aku hilang bentuk Remuk
Tuhanku Di pintuMu aku me­ngetuk
Aku tidak bisa berpaling
(dari petikan puisi ‘DOA’ - Khairil Anwar)


sampai begitu sekali dalamnya mencintai Allah dalam sajak tersebut, mengapa kita tidak boleh? Wallahua'lam bisshawab...

Risalah vs. Cinta

‘Sayang’?

Saya terkejut apabila membaca beberapa mesej daripada handphone rakan saya itu. Dan kelihatan muka si rakan itu merah padam. Mungkin kerana tidak menemui apa yang dia kehendaki daripada handphone saya.

Hal ini berlaku apabila dia meminta untuk ‘melihat-lihat’ handphone saya dan saya pun mengenakan syarat untuk ‘melihat-lihat’ juga handphone kepunyaannya. Dan inilah yang terjadi.

Rakan saya itu merupakan ketua Badan Nuqaba’ di universiti. Sangat berpengaruh dan gemar memberi tazkirah. Tetapi rupanya hanyut juga dengan mainan nafsu.

“Ah, ana bercinta secara islamik.”

“Islamik sangatkah kalau sampai ada ‘sayang-sayang’? Islamikkah kalau menaikkah nafsu? Dan itukah yang Islam benarkan untuk telefon berjam-jam dan bermesej ‘sayang-sayang’?” Soal saya kembali. Dan dia diam membisu.

Entahlah. Saya sendiri tidak dapat memikirkan mana yang betul-betul baik dan mana yang salah. Sebetulnya ini bukan kes pertama yang saya temui. Dulu saya pernah ditegur kerana bercinta oleh seorang orang kuat dalam Badan Nuqaba’.

Tetapi pada suatu hari saya terlihat pula orang yang menegur saya itu keluar berdua-duaan dengan perempuan. Yang pasti bukan adik atau saudaranya kerana saya kenal juga dengan dia.

“Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?” (Al-Baqarah: 44)

Janganlah sorokkan keburukan sendiri dengan cara menunjukkan yang anda orang yang betul-betul faham akan agama.

Adakah istilah ‘Cinta Islamik’?

Dulu saya juga pernah menggunakan istilah ini. Menyukai seseorang tetapi hanya sms sahaja menjadi penghubung. Tidak pernah call langsung dan tidak pula terkeluar perkataan ‘sayang’ atau yang menaikkan nafsu. Semua saya cuba kawal seboleh mungkin.

Tetapi betulkah cinta seperti itu yang saya hendakkan? Saya berfikir balik kerana walaupun sekadar sms sahaja sudah mampu menyebabkan saya sedikit lalai, dan cerita yang ini anda boleh baca di entri saya ‘Ibadah Itu Cinta’.

Saya tidak menafikan memang fitrah manusia itu menginginkan sesuatu untuk mendorongnya daripada orang yang berlainan jantina daripadanya. Tetapi perlulah dengan cara yang terkawal.

Kalau sudah masuk sampai fasa ingin ada perkataan ‘sayang’ daripadanya, saya sarankan dua perkara. Pertama, kahwin dan yang kedua tinggalkan sahaja. Ini kerana jika fasa ‘sayang’ itu terlalu lama berlaku sebelum kahwin, ini mungkin akan menyebabkan satu perasaan pelik datang. Jemu.

Saya tidaklah tahu hormon jenis apa yang dirembeskan keluar atau bahagian saraf yang mana akan bertindak balas apabila menerima ransangan dan menyebabkan perasaan jemu dan bosan itu berlaku. Tetapi itulah yang berlaku kepada beberapa orang rakan saya yang bercinta.

Mungkin dalam dua tahun boleh bertahan. Tetapi kalau sudah masuk tahun keempat, ramai yang sudah mula terpisah. Jawapan mereka, “Dah tiada jodoh, nak buat macam mana.”

Nasib baik ada seorang yang berani tanpa malu menjawab, “Dah jemu sangat.”

Berbalik kepada persoalan betulkah ada istilah ‘Cinta Islamik’. Pandangan saya, ada bagi orang yang betul-betul menjaga pergaulan. Menetapi kehendak syariat. Cumanya memang fitrah manusia pula menginginkan sesuatu yang lebih daripada apa yang telah dia dapat. Dan dari situlah timbulnya merengek-rengek kepada pasangannya untuk memberikan lebih daripada sebelumnya.

Jadi, bolehkah berlaku ‘Cinta Islamik’ sebelum pernikahan jika begitu? Kemudian pandangan saya tertumpu pula ‘Cinta Islamik boleh berlaku selepas pernikahan’. Cuma ini sekadar pendapat saya dan ia masih lagi boleh dipertikaikan oleh anda jika mahu.

Jangan burukkan nama institusi jemaah

Hal ini saya kira memang berlaku dan menyerang mana-mana institusi jemaah mahasiswa. Bercinta dalam jemaah? Satu lagi idea pelik yang cuba dimurnikan. Maaf, cinta yang dimaksudkan adalah cinta antara pasangan berlainan jenis.

Mereka katakan kepada saya, “Inilah cinta islamik. Kami bercinta kerana dakwah. Nanti sudah kahwin bolehlah meneruskan jalan perjuangan ini.”

Tetapi bila saya datang ke biliknya, dia pula sedang menelefon pasangannya. Dan akibatnya saya terpaksa menunggu sehingga tamat gayutan perbualan tersebut.

Lelaki dan wanita yang baik bukanlah yang bersembunyi di sebalik kosmetik kata murni berbau Islam seperti itu. Kalau sudah salah janganlah disembunyikan lagi.

Memang setiap manusia ada ego tersendiri. Mereka akan menyangka apa yang mereka buat adalah betul. Dan kerana itu perlunya kawan untuk menasihatkan. Tetapi kalau nasihat kawan sendiri mereka cuba sangkal, apa lagi yang boleh saya buat.

“Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.” (Al-Baqarah: 42)

Saya tertarik dengan seorang rakan saya yang memang betul-betul berminat menjadikan seorang akhawat dalam jemaahnya sebagai isteri. Dan dia meminta tolong daripada naqibnya yang merupakan seorang ustaz untuk menguruskannya.

Harapnya tiada ‘sayang-sayang’ yang hadir sebelum pernikahannya. Dan yang ada hanyalah kerjasama dalam jemaah seperti dahulu juga. Seperti sebelum dia menyatakan hasratnya.

Ada seorang lagi rakan saya yang sedang bertunang dan bakal berkahwin dalam bulan Disember tahun ini. Hendak dikatakan kemaruk itu tidak nampak sedikit pun. Tiada pun sms ‘tanya khabar’ lagikan pula hendak telefon. Dia harap jika sudah berkahwin nanti, barulah rasa-rasa ingin bertanya khabar itu baru datang. Dan barulah cinta berputik pada masa itu.

Alangkah seringnya

Mentergesai kenikmatan tanpa ikatan

Membuat detik-detik depan terasa hambar

Belajarlah dari ahli puasa

Ada dua kebahagiaan baginya

Saat berbuka

Dan saat Allah menyapa lembut memberikan pahala

Inilah puasa panjang syahwatku

Kekuatan pada menahan

Dan rasa nikmat itu bakal kurasa

Diwaktu buka yang penuh kejutan

Salim A.Fillah(Buku: Nikmatnya berpacaran selepas pernikahan)

Ehem, Gambar Muslimahkah Ini?


MUQADDIMAH

Terkadang bila melayari weblog-weblog rakan, menjelajah ke dalam dunia maya bagi manusia yang memayakan diri mereka, saya merasa hairan melihat sesetengah weblog muslimah, yang bertudung, yang menutup aurat, tidak segan silu pula untuk memaparkan gambar masing-masing.

Tiadalah terlalu salah untuk memaparkan gambar anda, ya muslimah sekalian, namun, sayangnya, anda terlupa bahawa gambar yang anda posting itu adalah gambar sebesar skrin 17 inci! Setiap butir jerawat dan bulu halus di muka anda terpampang rapi!

MUSLIMAH & GAMBAR : ADA APA DENGANNYA?

Tidaklah tujuan saya mengaibkan kalian. Saya adalah rakan kamu. Sahabat kamu. Yang enggan melihat wajah-wajah anda itu, dipaparkan sewenang-wenangnya kepada orang. Biarpun wajah bukan aurat mengikut sesetengah mazhab, namun tatkala fitnah mengundang, tidakkah ia melayakkan ianya ditutup dari pandangan umum? Muslimahku, Dunia internet semakin berkembang maju. Satu hari, satu weblog, mungkin berjuta-juta orang yang melihatnya setiap hari.

Di kalangan mereka ada yang bagus, yang menundukkan pandangan selaras firman Allah dalam Surah An-Nur “Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa Yang mereka kerjakan. ”

Namun, kita harus akui, bahawa di kalangan jutaan orang itu, ada yang hatinya sakit, ada yang jiwanya perit menanggung kesakitan akibat terlihat wajah-wajah kamu biarpun kamu bertudung litup. Muslimahku, Kalau kita lihat dunia gambar bukan main maju lagi. Dahulu, cuma setakat kamera yang perlu dicuci gambarnya. Kini, telefon juga menjadi kamera. Kamera pula lebih dahsyat, lebih instant, sesegera mee segera yang sama kerosakan yang dibawanya, penyakit hati.

Alangkah malangnya, kalau wajah-wajah anda yang terpamer itu, mengundang gejolak rasa di jiwa insan bernama lelaki, yang beriman akan beristighfar dan memujuk hati, manakala yang sakit jiwanya, akan mula mengganggu anda. Mula memburu anda dengan SMS, telefon, hatta mungkin mendekati anda, dengan tujuan memiliki anda….

Hanya kerana satu kesilapan yang mungkin anda tidak terniat, wajah anda terpampang besar di internet! Gambar adalah bayangan realiti. Namun mungkin juga ia fantasi. Kadangkala tertipu juga lelaki pada fantasi Photoshop, Fireworks dan seribu satu pengedit gambar lagi. Kalau itu memang tujuan anda, anda tanggung sendirilah. Tapi kalau niat anda cuma berkongsi, dengan tanpa sedar mengajak fitnah bertandang, maka amaran saya, hati-hatilah!

PENYELESAIANNYA….

Andalah sahaja yang mampu menyelesaikannya. Bukan orang lain. Diri anda, andalah yang harus menjaganya. Apa tujuan anda bertudung dan menutup aurat? Bukankah kehendak syariat dan ingin menutup pandangan orang kepadamu? Maka, soalan saya, menundukkan pandangan bukan kehendak syariatkah? Memaparkan wajah anda besar-besar menutup pandangan orang terhadap andakah? Kerana weblog-weblog dan web foto itu milik anda, seharusnyalah anda kecilkan wajah-wajah anda dengan mengecilkan saiz gambar itu.

Banyak cara boleh dilakukan menggunakan perisian pengedit gambar. Belajarlah daripada yang tahu. Hindarkanlah aksi-aksi dan posing-posing yang hanya akan menambahkan lagi kerosakan jiwa masyarakat. Sekiranya niat anda hanya ingin berkongsi dengan rakan muslimah anda, lakukanlah secara tertutup. Elakkan posting yang boleh dilihat oleh segala macam jenis orang. Kalau lebih mudah, anda kirim saja emel bergambar pada rakan muslimah anda itu.


Ingat, wajah anda, anugerah Allah.

Anugerah Allah itu hanya layak dilihat berkali-kali oleh yang layak sahaja...
Wallahu A’lam..

Wanita solehah, Itulah sebaik-baik hiasan...




S e l a m a t B e r m u j a h a d a h

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

cetak artikel pilihan dari blog Balai Islam Bestari