Tuesday, December 28, 2010

AMALAN UNTUK KEBAHAGIAAN DUNIA DAN AKHIRAT


Kebahagian hidup merupakah salah satu nikmat yang sangat besar kurniaan Allah kepada hambanya yang terpilih. Bermakna, bukan semua orang dapat mengecapi kebahagiaan hidup walaupun sering ramai yang mengimpikannya.

Sesetengah orang dapat memenuhi semua keinginannya dalam hidup seperti rumah besar, kereta besar, isteri cantik, harta melimpah ruah namun masih tidak merasa bahagia. Jadi, apa sebenarnya ukuran seseorang itu bahagia.

Sebagai seorang muslim, kita amat mengharapkan diri kita mendapat redha Allah dalam kehidupan. Orang yang mendapat redha Allah akan merasa keberkatan hidup, tenang jiwanya dan sentiasa gembira dalam menjalankan urusan keduniaannya serta terasa seronok melaksanakan kewajipan kehambaan terhadap Tuhannya.

Islam menyarankan umatnya sentiasa berusaha dan berikhtiar untuk mencari kebahagiaan yang hakiki. Kebahagiaan yang hakiki ialah meliputi kebahagiaan di dunia dan juga kebahagiaan di akhirat . Antara amalan yang di sarankan oleh Islam untuk mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat ialah


1.MELAZIMI UCAPAN KALIMAH TOIYYIBAH IAITU “La ilaha illallah Muhammadar Rasulullah”.


Sabda Rasulullah s.a.w. yang bemaksud: “Banyakkanlah berzikir kepada Allah pada setiap perkara kerana tidak ada amal yang paling dicintai oleh Allah dan tidak ada yang menyelamatkan seorang hamba daripada keburukan di dunia dan akhirat melainkan berzikir kepada Allah.”

2.SENTIASA MENYEBUT LAFAZ “ Lahaula-wala quwwata-illa billahil ‘aliyyil a’zim

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: “Apakah tiada aku tunjukkan kepadamu kunci untuk membuka pintu daripada pintu-pintu syurga?” Kata sahabat, “Apakah kunci untuk pintu syurga itu?” Jawab Rasulullah s.a.w. “Dengan sentiasa menyebut “Lahaula-wala quwwata-illa billahil ‘aliyi-azim.” Zikir ini bermaksud, “Tiada daya, tiada kekuatan melainkan dengan izin Allah.” Apabila zikir ini selalu disebut-sebut, insya-Allah seseorang itu akan diberi ketenangan dalam menerima ujian dan keredaan daripada Allah.

3.APABILA MENDAPAT NIKMAT , MAKA UCAPKANLAH “Alhamdulillah

Rasulullah s.a.w. bersabda, bermaksud: “Ucapan yang paling disukai oleh Allah ada empat iaitu Subhanallah, Alhamdulillah, Wa la ilahaillallah, Allahu akbar.” Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: “Sekiranya dunia dan seluruh harta kekayaan yang berada di atasnya diserahkan ke tangan seorang daripada umatku, kemudian orang itu berkata Alhamdulillah, maka ucapan Alhamdulillah itu lebih berharga daripada seluruh harta itu. Ini kerana harta dunia akan habis, tetapi ucapan Alhamdulillah itu akan berkekalan selama-lamanya hingga akhirat.


4.UCAPKANLAH “ Bismillahir-Rohmanir-Rahim” KETIKA HENDAK MEMULAI SESUATU PEKERJAAN.

Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa setiap pekerjaan baik yang tidak dimulai dengan menyebut nama Allah, maka pekerjaan itu tidak mendapat keberkatan daripada Allah.

5.MELAZIMI UCAPAN “Astaghfirullahal-azim wa atubu ilaih” APABILA TERBUAT DOSA.

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Perlukah aku beritahu kepadamu tentang suatu penyakit dan ubatnya kepada kamu? Sesungguhnya penyakit manusia itu adalah dosa, dan ubatnya adalah istighfar.” Sebagai manusia kita tidak sunyi daripada melakukan salah dan dosa, maka cepat-cepatlah beristighfar dan bertaubat kepada Allah. Dalam hadis lain Rasulullah bersabda, yang bermaksud, “Barang siapa yang membiasakan dirinya membaca istighfar, Allah akan melepaskannya daripada segala macam kesempitan dan terlepas daripada setiap kesusahan dan Allah memberi rezeki kepadanya dengan tidak disangka-sangka.” Hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah.

Mudah-mudahan panduan ini dapat diamalkan untuk mendapatkan kehidupan yang diredai oleh Allah dan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat


No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

cetak artikel pilihan dari blog Balai Islam Bestari