Tuesday, March 15, 2011

Mungkiri janji itu sifat Iblis

Iblis adalah makhluk ghaib yang dijadikan daripada api dan tidak dapat dilihat oleh pancaindera. Iblis termasuk dalam golongan yang menderhakai Allah swt apabila enggan sujud kepada Nabi Adam a.s. Sifat-sifat iblis terlalu banyak yang dijelmakan dalam diri manusia, terutama manusia yang tidak dapat membezakan antara hak dan batil. Manusia yang tidak dapat petunjuk Allah swt, maka lahirlah sifat kebinatangan yang diinspirasikan oleh iblis dan konco-konconya, merompak , meragut hingga menyebabkan kematian, membunuh, menipu dan pelbagai sifat lain.
Terdapat pandangan ulama yang menyatakan bahawa sifat iblis yang sering terdapat pada diri manusia yang paling teruk ialah memungkiri janji. Firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 22, “Dan berkatalah pula iblis setelah selesai perkara itu, sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu; dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu terburu-buru menurut ajakanku itu;  maka jangan kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya daripada dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah tuhan) yang kamu sekutukan daku dengannya. Sesungguhnya orang-orang yang zalim beroleh azab yang tidak terperi sakitnya".
Memungkiri  janji juga adalah sifat golongan munafiq yang amat dibenci Allah dan Rasulnya. Allah menegaskan menerusi ayat 77 surah at-Taubah yang bermaksud, “akibatnya Allah menimbulkan perasaan munafiq ke dalam hati mereka (berkekalan) hingga ke masa mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri apa yang mereka janjikan kepada Allah dan juga kerana mereka sentiasa berdusta.”
Rasulullah juga mengatakan bahawa, "tanda orang munafiq itu ada tiga; apabila bercakap dia berdusta, apabila berbuat janji dia mungkirinya dan bila diberikan amanah dia mengkhianatinya.” Hadis sahih riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim.
Dalam kita Falhul Bari Juzuk 1 halaman 90, Ibn Hajar Al-Asqalani menegaskan bahawa sifat nifaq itu boleh menjadikan seseorang itu kafir melalui penglibatan dalam nifaq besar yang bersangkutan dengan akidah, iaitu apabila seseorang muslim itu menyembunyikan kekufurannya dan ia sebenarnya menzahirkan keimanannya. Nifaq jenis ini terkeluar daripada Islam, ia terdapat pada diri seseorang yang memungkiri janji.
Menurut Imam Nawawi yang memetik pandangan ulama bahawa mereka bersepakat mengatakan jika terdapat sifat nifaq ini pada diri seorang muslim, maka dia dihukum seorang yang telah kafir.
Menurut Imam al-Ghazali pula, seseorang muslim itu dilihat kepada tiga perkara, perkataan, perbuatan dan niatnya. Perkataannya dianggap rosak kerana berbohong. Perbuatannya rosak kerana berlakunya khianat dan niatnya rosak kerana memungkiri janji. Itulah tanda yang telah ditegaskan Rasulullah dalam Sunan Abu Daud juzuk 2 halaman 717 maksudnya: “Jika seseorang Muslim itu berbuat janji kepada saudara muslimnya dengan niatnya untuk tidak menunaikan janjinya (maka dia berdosa), tetapi jika dia tidak sanggup untuk mungkiri janjinya, maka dia tidak berdosa.
Terdapat pandangan ulama yang menyebut bahawa setiap muslim perlu mengetahui hakikat sebenarnya bahawa Allah maha sempurna sifat-sifatnya hingga sama sekali tidak mungkiri janjinya terhadap makhluknya, ia dbuktikan dengan  dengan ayat 47 surah al-haj maksudnya’” Dan mereka meminta kepadamu (Wahai Muhammad) menyegerakan kedatangan azab, padahal Allah tidak sekali-kali akan memungkiri janjinya dan katakanlah kepada mereka sesungguhnya satu hari dari hari-hari azab di sisi Tuhanmu adalah meyamai seribu tahun dari yang kamu hitung.
Bagi menyelamatkan diri kita masing-masing daripada terjebak pada sifat-sifat Iblis, tidak ada jalan selain mengadu kepada Allah dan sentiasa bermuhasabah terhadap amalan kita.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

cetak artikel pilihan dari blog Balai Islam Bestari