Monday, December 15, 2008

11 Amalan yang Terbalik??? (jom muhasabah diri sendiri)


Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang
amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah
terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut
oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau
terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang
dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-

1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh
keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua,
ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang
dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran
tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk meringankan
kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa
kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka
yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri
tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang
ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang belum
dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin)
orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam).
Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi
makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula
salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita
patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa
kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah
pendapatan.

3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian
cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun
di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju.
Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan,
kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana
rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan
dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak
membazir.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di
rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak
dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk
mengelakkan rasa riak.

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu
makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam
carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati
perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun.
Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah.
Bukankah terbalik amalan kita?

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat
kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak
buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah
kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak
bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau
kita mempunyai tujuan lain.

8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam
periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak
belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak
bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas
mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00
satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar
RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah
terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak
dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam,
pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi
kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid)
tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid.
Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke
rumahNya segan dan malas.

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami
atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah,
masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk
suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang
terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.

11. Kita cukup teruja untuk meng'forward' kan sms atau emel dalam
bentuk gossip2 artis kepada kawan2. Malah kebanyakkan sms emel
tersebut tidak benar dan boleh menjatuhkan maruah org lain. Tapi
kenapa susah sangat nak forward emel2 peringatan sebegini kepada
kawan2 kita??.....

Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada
menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran
agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan
yang digubah mengikut selera kita. Allah yang mencipta kita maka
biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita. Sabda Rasullullah
SAW: "Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat." (Riwayat Bukhari)

1 comment:

fit@blonc said...

budaya orang kita rakyat malaysia especially orang melayu mmg mcm nie..
bila la nak berubah..?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

cetak artikel pilihan dari blog Balai Islam Bestari