Saturday, December 13, 2008

TIDAK CUKUP HIDUP SEMATA-MATA DENGAN FITRAH,KITA MESTI HIDUP DENGAN TUHAN

Fitrah ialah kehendak atau keinginan semulajadi manusia. Kehendak fitrah manusia itu, ada yang utama dan ada yang kurang utama. Yang utamanya hanya satu iaitu kehendak atau keinginan untuk bertuhan. Yang kurang utamanya banyak. Ini termasuklah keinginan untuk berkasih sayang, berkawan, suka kepada kepada kecantikan dan keindahan, keharmonian, kedamaian, ketenangan dan keamanan dan suka kepada sifat-sifat yang baik seperti lemah-lembut, pemurah, rendah diri, pemaaf dan sebagainya.

Sebenarnya kita boleh hidup aman damai hanya dengan mengikut fitrah kita. Terutama kalau fitrah kita itu masih baik dan belum dirosak atau dicemarkan oleh suasana. Dengan mengikut fitrah seperti ini sahaja, masyarakat boleh menjadi tenang, berharmoni dan bertolong-bantu. Memang itulah keinginan fitrah dan manusia akan berbuat mengikut keinginan fitrahnya itu.

Ini dapat kita lihat di dalam masyarakat orang asli yang hidup di hutan. Atas dorongan fitrah, mereka dapat berinteraksi dan berhubung dengan baik di antara satu sama lain. Mereka mampu mewujudkan masyarakat yang mempunyai jalinan yang rapat, bersatu padu dan berharmoni.

Di dunia lain pula terdapat masyarakat yang hidup aman damai. Kalaupun mereka ada undang-undang untuk menghukum penjenayah dan orang-orang yang membuat salah laku, mereka sebenarnya banyak terpandu oleh etika dan kod sosial atau social code masyarakat mereka yang telah diterima bersama. Kadang-kadang etika atau kod sosial ini terkandung di dalam budaya atau tradisi hidup mereka. Ianya tidak bertulis tetapi semua ahli masyarakat memahami dan mengamalkannya.

Etika dan kod sosial ini tercetus atas dorongan fitrah bersama yang mahukan ketenangan, keharmonian dan kedamaian dalam masyarakat mereka.

Tetapi ini ialah kedamaian dengan fitrah, bukan kedamaian dengan Tuhan. Tuhan tidak mahu kita damai dan menjadi baik atas dasar fitrah semata-mata. Tuhan mahu kita jadi baik atas dasar Tuhan.

Kedamaian dan kebaikan atas dasar fitrah tidak tahan diuji. Orang yang baik atas dasar fitrah bila berlaku sesuatu ujian, baiknya akan hilang dan jahatnya akan terserlah.. Orang yang pemarah dan panas baran; contohnya, akan tenang sekiranya keadaan tidak menekannya. Tetapi kalau dia ditekan dan disusahkan, dia akan jadi berang dan akan mengamuk. Orang yang tidak sabar dan tidak redha pula akan nampak tenang apabila semua keperluannya cukup. Tetapi kalau keperluannya berkurangan dan dia jatuh miskin, dia akan mula meracau dan mengeluh. Boleh jadi dia akan putus asa. Begitulah seterusnya.

Hidup dengan Tuhan bermaksud Tuhan itu menjadi teras dalam kehidupan. Tuhan itu diimani dan dijadikan pegangan. Segala apa dalam hidup ini dikaitkan dan disandarkan kepada Tuhan. Kita menumpang kekuatan Tuhan. Kedamaian, ketenangan dan keharmonian dalam masyarakat dicapai hasil dari cinta dan takut dengan Tuhan. Sifat-sifat baik yang tercetus pada diri individu itu adalah hasil dari mujahadah dan memperbaiki diri atas dorongan rasa takut dengan Tuhan.

Bila kita hidup dengan Tuhan, kita mudah tenang dan sabar dengan susah dan ujian kerana kita bersandar dengan Tuhan. Kalau dalam susah dan ujian pun kita boleh tenang, maka lebih-lebih lagilah kita boleh tenang dalam kesenangan dan kemewahan.

Tuhan itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Dia mahu diriNya dilibatkan sama dalam segala urusan dan masalah hamba-hambaNya. Tuhan seolah-olah berkecil hati kalau kita tidak libatkan Dia dalam urusan dan masalah kita. Pada Tuhan, hamba-hambaNya itu adalah kepunyaanNya. Dialah yang paling berhak untuk membantu dan menolong hamba-hambaNya. Janganlah kita kesampingkan Dia. Marilah kita hidup denganNya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

cetak artikel pilihan dari blog Balai Islam Bestari